Wednesday, December 5

Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani

Koleksi Tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shahgir Abdullah

Syeikh Daud bin Abdullah (1769-1847) ialah seorang tokoh ulama Melayu yang mengembangkan syiar Islam di Nusantara. Kedudukan Nusantara di antara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan wilayah ini menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Nama penuh beliau ialah Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) Al-Fathani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliyullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah Al-Fathani.

Syeikh Daud Al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi [daripada] tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: "Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak rajaa Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi. dipanggil Andik Ali."

"Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahin 1049 H."

"Maka kerana lemah-lembut tingkah lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di Situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Bija Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 Masihi."

Berbalik kepada Syeikh Daud Al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisik ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Syeikh Daud dan Ilmu Pengetahuan

Ayah Syeikh Daud iaitu Syeikh Wan Abdullah dan datuknya Syeikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Syeikh Daud Al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu Tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal.

Syeikh Daud Al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang dari[ada mereka ialah bapa saudaranya, Syeikh Shafiyuddin.

Ada yang berpendapat bahawa Syeikh Daud Al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Syeikh Daud Al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dan Siam pada ketika itu.

Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Syeikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas maslah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: "Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksaNya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihNya."

Pada muqaddimah karyanya Bughyatuth Thullahb beliau menulis, ertinya: "Dan adapun kemudian daripada itumaka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak."

Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut: "Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat." Yang ertinya: "Barangsiapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah SWT, tiada keranaNya melainkan supaya mengena dengan dia kehendaknya daripada dunia, tiada akan bilik syruga yang ke atas pada hari kiamat."

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: "Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah Subhanallah Wa Taala dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam-kabut jahilnya kepada Nur ilmu."

"Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya, maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu."

Menurut beliau lagi: "Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu, maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan, maka hendaklah ia ijtihad atas kadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi."

Daripada kalimat-kalimat beliau itu, dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Syeikh Daud Al-Fathani, bahkan ulama-ulama pada zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi puasa, hukum zakat, hukum jual beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Syeikh Daud Al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: "Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk-belok tentang keislaman, maka seseorang itu tetap masih jahil walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa."

Kewafatan

Syeikh Daud Al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah Ibnu Abbas iaitu sepupu Rasulullah solla Allahu alaihi wasallam. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 Masihi, juga ada yang menyebut tahun 1265 Hijrah.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad Al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Syeikh Nik Mat Kecik Al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bidara di rumahnya.

Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Syeikh Daud Al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia, namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.

Nota: [...] adalah tambahan daripada penyunting.

Rujukan: Munyatul Musalli (Idaman Orang Yang Solat); Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani; Al-Hidayah Publications; Cetakan Kedua 2012


No comments:

Post a Comment